Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof tampil berkongsi mengenai perkembangan perancangan filem inspirasi daripada kisah pelakon dan penyanyi, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok, Eizlan menjelaskan sehingga kini dia masih belum dapat berbincang dengen empunya badan, Bella berhubung rancangannya itu meskipun telah mendapat persetujuan daripada produser terkenal.
“Kami ada berhubung di telefon cuma saya tak sempat untuk bercerita mengenai projek ini tapi saya tahu dia ada baca di media sosial. Cuma, ini hanyalah pandangan saya sebagai senior, saya rasa Bella berat hati untuk teruskan dengan projek ini mungkin kerana bimbang kisah peribadinya dimanipulasikan.
“Saya hanya mahu tegaskan projek filem ini tidak akan menunjukkan perkara yang mengaibkan mana-mana pihak hanya nak buat jalan cerita yang baik-baik dan indah sahaja. Pada saya Bella dan Saddiq ini kedua-duanya comel. Jadi kita buat filem yang sweet, contoh macam Winter Sonata langsung tak akan sentuh kisah peribadinya yang penuh warna itu,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Eizlan berkata idea untuk menghasilkan filem #BASS itu tercetus setelah peminat membanjiri ruangan komen perkongsian di media sosial memintanya membuat cerita mengisahkan Bella dan Saddiq meskipun tidak mengetahui hubungan sebenar mereka.
Bagaimanapun, Eizlan menegaskan dia perlu mendapat persetujuan daripada Bella dan Saddiq terlebih dahulu dan buat masa ini masih tiada sebarang keputusan sama ada filem tersebut bakal diadakan atau tidak.
“Bella mungkin tak nak terungkit kisah lama tapi kalai berbincang, saya tak nak usik pun sebab sebelah sana pun kami berkawan jadi tak nak ada masalah dengan mana-mana pihak.
“Pada saya tiada keperluan untik buat cerita yang dramatik. Peminat sukakan ‘happy ending’. Jadi itu yang saya mahu buat tetapi Bella berkemungkinan bimbang. Produser pun dah bersedia, cuma perkara sekarang masih tergantung. Doakanlah yang terbaik semoga ada sinarnya nanti,” katanya lagi.
Artikel Berkaitan: Restu Pasangan #BASS, Netizen Minta Eizlan Yusof Buat Filem Papar Kisah Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq – “Suri Hati Mr. Parlimen”
Kredit foto: Berita Harian
Kredit video: YouTube Selebriti Malaysia