am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Peniaga berdepan detik cemas apabila Toyota Vios dipandunya diserang tiga gajah kejadian selepas Tasik Banding dekat Gerik, malam tadi.
Dalam kejadian 8.15 malam itu, mangsa, Faizal Mohamad, 39, dalam perjalanan dari Kampung Guchil, Kuala Krai untuk melihat saudaranya yang meninggal dunia di Kampung Alor Janggus, Alor Setar, Kedah.
Faizal berkata, ketika kejadian, dia seorang diri dan melihat enam gajah melintas jalan.
“Saya memberhentikan kereta dan mematikan lampu untuk memberi laluan kepada kumpulan gajah itu melintas jalan.
“Pada masa sama, ada sebuah lori yang saya syaki dalam keadaan laju dari arah belakang dan melintas jalan.
“Keadaan itu berkemungkinan menyebabkan gajah itu terkejut sebelum tiga daripadanya mendekati kereta dan menghentak kenderaan saya sehingga kemek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, hentakan kuat gajah di bahagian hadapan kiri dan depan menyebabkan enjin keretanya mati dan pintu rosak.
Katanya, dalam keadaan panik, dia melihat tiga gajah termasuk seekor anak gajah, dia terus berlari ke bahagian tempat duduk belakang dan keluar melalui pintu sebelah kiri.
“Saya hanya mampu merangkak di atas jalan kerana kedua-dua mata saya masuk kaca dan luka di lutut.
“Saya minta bantuan orang ramai, namun mereka juga takut untuk melalui jalan itu kerana ketika itu gajah masih ada di atas jalan.
“Pada 8.45 malam, sebuah lori yang lalu melemparkan mercun yang menyebabkan kumpulan gajah itu lari masuk hutan. Saya bersyukur kerana selamat walaupun kereta rosak,” katanya.
Bapa kepada lima anak itu berkata, sebaik melihat keadaan selamat dia menghidupkan enjin kereta dan memandu ke Balai Polis Gerik yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Katanya, selepas itu dia ke Hospital Gerik untuk mencuci mata berikutan mata dimasuki kaca.
“Saya bersyukur kerana selamat dan ini adalah kejadian pertama bertemu gajah walaupun sebelum ini selama lapan tahun saya menggunakan jalan itu untuk berulang-alik dari Perak ke Kuala Krai.
“Sejak enam bulan lalu, saya berpindah dan menetap di Kuala Krai selepas isteri yang bekerja sebagai guru dapat bertukar ke kampung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




