georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Promosi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) dirancakkan dengan kempen Kool 101 x Ejen Ali Studio Takeover dihadiri nama-nama penting karya animasi hebat itu, di studio Kool 101, Media Prima Audio, hari ini.
Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin berkata secara peribadi dia teruja mengadakan promosi menerusi radio dan semestinya berharap dapat meraih perhatian lebih ramai untuk tonton filem itu.
“Bila kita masuk radio, tahap tenaga penyampainya sentiasa tinggi. Saya rasa itu sangat menggalakkan lagi dan harap keterujaan itu sampai juga kepada penonton-penonton.
“Kebanyakan medium promosi kami lebih kepada ‘online’ dan juga TV. Jadi radio ini saya kira tambah dinamik untuk kami kerana tak selalu Ejen Ali keluar radio.
“Dengan promosi di radio boleh capai golongan audien yang tak selalu kita capai. Harapnya itu akan akan sedikit sebanyak bantulah raih lebih penonton ke pawagam,” katanya.
Usamah hadir ke studio untuk ke udara bersama penyanyi runut bunyi, Datuk M. Nasir serta pelakon suara latar EATM2.
Sepanjang tempoh kempen, Kool 101 menjadi hab rasmi (Home Of Ejen Ali) untuk semua promosi EATM2. Transformasi penuh turut dibuat dalam studio dengan visual, warna dan suasana bertemakan EATM2.
Paparan skrin lampu diod pemancar cahaya (LED) dan latar digital direka semula sebagai lambang sinergi kreatif antara Kool 101 dan EATM2.
Kempen terbabit bertujuan menyokong filem tempatan dan mengetengahkan individu-individu berbakat di sebalik francais animasi kegemaran negara.
Usaha itu mengukuhkan peranan Kool 101 menyatukan generasi melalui kandungan berunsur kekeluargaan dan budaya yang dikongsi bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




