hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Permohonan perhimpunan Himpunan Melayu Berdaulat di hadapan perkarangan Kompleks Sogo, di sini, 24 Mei ini masih dalam perbincangan polis dan pihak penganjur.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya sudah menerima makluman perhimpunan berkenaan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan perkara itu sedang diteliti daripada pelbagai aspek.
Katanya, pihaknya turut mengambil maklum cadangan himpunan itu akan dilakukan ketika Sidang Kemuncak Asean ke-46 berlangsung, justeru ia akan dinilai secara menyeluruh.
Menurutnya, pihaknya juga dalam proses perbincangan dengan pihak penganjur bagi menentukan sama ada lokasi alternatif perlu dicadangkan bagi memastikan ketenteraman terpelihara.
“Polis mengambil maklum pemakluman perhimpunan berkenaan dan kami dalam proses perbincangan dengan pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan ringkas, di sini, hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Sekretariat gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia menyasarkan lebih 15,000 orang bakal menyertai Himpunan Melayu Berdaulat di hadapan pekarangan Kompleks Sogo, di sini, 24 Mei ini.
Pengerusinya, Syed Hassan Syed Ali dipetik berkata, himpunan besar yang dijadualkan bermula 2.30 petang itu bertujuan menyuarakan kepentingan orang Melayu -Islam yang didakwa beliau semakin terhakis sepanjang pemerintahan kerajaan Madani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




