Kritikan keras Rafizi tak bermakna pengkhianatan kepada parti – Anwar

Kritikan keras Rafizi tak bermakna pengkhianatan kepada parti – Anwar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima secara positif kritikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap parti dan kepemimpinan yang diakuinya agak keras, namun disifatkan satu peringatan supaya kekuatan parti terus diperkukuh.

Beliau berkata, kelantangan Rafizi tidak seharusnya dilihat satu pengkhianatan kepada parti.

“Saya ada pandangan tetapi tidak sekeras Rafizi, tetapi degil dan keras kepalanya lebih kurang (sama dengan saya). Walaupun (ada perkara) saya tak setuju, tetapi damaikanlah.

“Dia (Rafizi) tegur agak sedikit terlanjur, ya tapi dia bukan khianat, tetapi nak kuatkan parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya, situasi yang berlaku dalam pemilihan kali ini dengan Rafizi dilihat lantang menyuarakan pandangannya tidak seharusnya disalahtafsirkan.

“Pengalaman kita dulu tu lain, sebelum pertandingan dah mula bibit khianat, jadi jangan samakan (dengan isu Rafizi).

“Nak tegur, tegurlah tetapi jangan lupa kehebatan, kekuatan serta pengorbanan mereka (Rafizi dan Nurul Izzah), dan (lebih baik) kalau terlanjur mohon maaf,” katanya.

Sebelum ini pelbagai polemik mengenai persaingan dua penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden PKR membabitkan Rafizi dan Nurul Izzah Anwar timbul.

Antaranya ada bekas pemimpin PKR membayangkan nasib Rafizi akan berakhir seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akhirnya menjadi seorang ‘bekas’ pimpinan parti itu.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebelum ini meninggalkan parti itu susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas hanya 22 bulan memerintah.

Sehubungan itu, Anwar turut menasihati kepemimpinan, akar umbi dan ahli PKR supaya kembali bersatu atas nama perjuangan parti bukan kerana dirinya.

“Saya masih pegang kepada yang menang, menanglah tetapi yang tak menang (tidak kalah) semuanya. Untuk saya, (jika diberi pilihan) saya akan rangkul kesemuanya kerana agenda perjuangan ini lebih tinggi, lebih besar dari agenda Anwar.

“Anwar itu satu sosok, hari ini ada, sebulan lagi usia saya 78. Satu dua tahun lagi akan capai usia 80 tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top