am@hmetro.com.my
PENYANYI, Mas Idayu, 53, mengakui lagu duet bersama Farez Adnan berjudul Air Titik Ke Batu ada kaitan dengan kisah hidupnya.
Mas Idayu berkata, Farez juga beritahu mahu buat lirik lagu mengenai kisah hidupnya kerana mereka sudah kenal lama lebih kurang 11 tahun.
“Farez memang mengikuti perkembangan saya dan dia tahu semua yang terjadi dalam hidup, sebab itu dia tukar lirik lagu asal kepada kisah hidup saya.
“Selain lagu dan muzik yang sedap di dengar, lirik lagu itu juga kena dengan kisah hidup saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media single Titik Air Ke Batu yang berlangsung di Rusa Cafe, di Puchong, Selangor, kelmarin.
Mengenai kerjasama dengan Farez, kata Mas Idayu, pada mulanya dia memang tidak berminat untuk menghasilkan lagu duet.
“Saya memang tak suka berduet sebab susah nanti untuk buat promosi bila seorang lagi artis tidak boleh bagi komitmen dan sebagainya.
“Bila kita buat lagu duet berkumpulan ini ada saja yang boleh buat hati kita ‘sentap’ dan itulah yang saya tengok rata-rata dalam industri seni dan saya tak nak jadi sebegitu,” kata penyanyi dangdut yang popular dengan lagu Cintaku 100% dan Senggol Senggolan ini.
Mas Idayu berkata, banyak kali juga Farez beri dia peluang untuk mendengar lagu dendangannya dia tapi dia buat tidak tahu saja.
“Tapi Farez pula sangat rapat dengan saya dan saya sudah anggap dia macam anak sejak kami terbabit dalam program D’Academy Asia di mana saya turut menjadi juri program berkenaan.
“Saya beritahu Farez, kalau hanya sekadar empat baris untuk minta saya buat penampilan khas dalam lagu itu tak mungkin saya akan terima.
“Sebab itu, Farez tukar lirik lagu dan buat ia menjadi lagu duet untuk kami menyanyi bersama. Bila lagu dan muzik single Titik Air Ke Batu sudah siap, dia terus bagi saya dengar dan saya terus suka dan terima tawaran untuk berduet dengannya,” katanya.
Ditanya pandangannya mengenai Farez pula, kata Mas Idayu, dia nampak penyanyi muda itu ada bakat tersendiri untuk generasi baru artis dangdut lelaki.
Jika nak diikutkan, sekarang bukan masanya untuk dia buat promosi lagu seperti zaman pembabitannya dalam bidang nyanyian 30 tahun dahulu.
“Tapi saya buat semua ini untuk Farez dan saya juga tak boleh ego kerana mahu tengok artis baru sepertinya juga berjaya macam saya dulu.
“Tidak mengapa kalau dia cakap nak tumpang nama saya sebab saya pun tumpang lagu sedap yang dia buat ini kerana ada jiwa dan perasaan macam lagu era 90-an dulu.
“Saya tidak kisah untuk bantu artis muda meningkat naik sepertinya kerana sedikit sebanyak, saya boleh membantunya dan harap dia berjaya kelak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




