MQA, TalentCorp jalin kerjasama tingkat kualiti program pengajian

MQA, TalentCorp jalin kerjasama tingkat kualiti program pengajian

amir_hamid@mediaprima.com.my

Sepang: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dalam memastikan program pengajian tinggi terus selari dengan kehendak industri dan keperluan tenaga kerja masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif itu bukan sahaja penting untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, tetapi juga menyokong usaha menyeluruh negara dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang responsif dan berdaya saing.

Katanya, TalentCorp memiliki sistem data yang sangat komprehensif berasaskan kluster industri, termasuk maklumat mengenai kemahiran yang diperlukan dan peluang pekerjaan semasa serta masa hadapan.

“MQA melihat kerjasama ini sebagai langkah strategik untuk memastikan proses pembangunan dan penilaian program pengajian benar-benar didasari data industri yang sahih.

“Pendekatan TalentCorp yang mengumpul data daripada pelbagai kluster seperti minyak dan gas, logistik, teknologi maklumat, pengangkutan dan pengurusan, membolehkan maklumat yang dikumpulkan bersifat menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi kunjungan hormat Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Thomas Mathew ke Mercu MQA, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Ts Dr M Iqbal Saripan; Ketua Pegawai Strategi Kumpulan TalentCorp, Nazrul Aziz; Naib Presiden, Perisikan Perniagaan Kumpulan TalentCorp, Ahmad Syukri Muhammad; Naib Presiden, Graduan & Bakat Baharu Megat Fazrul Azlin Megat Abd Aziz dan Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA Mohamad Dzafir Mustafa.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, perbincangan antara kedua-dua agensi itu turut memberi fokus kepada integrasi sistem MyMahir (TalentCorp) dengan eMAS (MQA) bagi memastikan padanan laluan kerjaya dapat dilaksanakan secara efektif dalam proses permohonan akreditasi program oleh institusi pendidikan tinggi (IPT).

Beliau berkata, dengan akses kepada data yang luas dan tepat, pihaknya akan dapat pastikan program yang diluluskan oleh benar-benar memenuhi kehendak majikan.

Katanya, kerjasama dengan TalentCorp akan membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, sejajar dengan kehendak pasaran kerja yang semakin dinamik dan kompleks.

“MQA berpandangan bahawa pemadanan antara keperluan industri dan kandungan program perlu terus diperkasa bagi memastikan graduan kekal relevan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Hasrat ini selari dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mahu melihat Malaysia muncul sebagai hab pendidikan global. Bagi mencapai matlamat itu, kolaborasi pintar antara agensi seperti TalentCorp dilihat sebagai antara pemangkin utama dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top