Konsert ‘Desaku Mendunia’ Raikan MAWO, Tampil Jamal Abdillah & Dayang Nurfaizah

Konsert ‘Desaku Mendunia’ Raikan MAWO, Tampil Jamal Abdillah & Dayang Nurfaizah

Bagi meraikan kejayaan dan bakat luar biasa MARESMAF Wind Orchestra (MAWO), konsert istimewa bertajuk “Desaku Mendunia” bakal diadakan pada 27 dan 28 Mei ini bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.

Konsert yang dianjurkan dengan kerjasama antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM),  akan menampilkan barisan artis tersohor tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang Khalifah, Datuk Suhaimi Sulaiman, Zam dan Along (Feel Da Starz) serta kumpulan Zeppo Youngster.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail menyifatkan MAWO sebagai satu kumpulan istimewa yang mencerminkan semangat dan kebolehan anak-anak peneroka Felda.

“Apabila kali pertama saya bekerjasama dengan mereka, saya sangat tersentuh.

“Mereka adalah anak-anak peneroka yang datang daripada latar belakang Felda. Ini tanggungjawab sosial kami di RTM untuk memberi inspirasi dan sokongan kepada mereka,” ulasnya pada sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Dari ‘Zero to Hero’

Berpengalaman bekerja dengan orkestra sekolah elit dan pemuzik profesional, Mokhzani mengakui kekagumannya terhadap MAWO yang membina kejayaan mereka dari bawah.

“Pelajar-pelajar ini memulakan perjalanan muzik mereka daripada sifar. Ramai antara mereka hanya baru belajar bermain alat muzik dalam beberapa bulan sahaja.

“Namun, semangat dan disiplin mereka luar biasa,” tambahnya.

MAWO terdiri daripada 53 pelajar Tingkatan Dua hingga Lima dari MRSM FELDA (MARESMAF) dan turut disertai 39 warga peneroka Felda.

Mereka bakal mengharumkan nama negara dengan mewakili Malaysia ke pertandingan International Festival of Wind Orchestra yang akan berlangsung di Prague, Republik Czech pada 20 dan 21 Jun 2025.

Pertandingan berprestij itu bakal menghimpunkan penyertaan daripada 11 negara termasuk Republik Czech, Croatia, Iceland, Itali, Latvia, Hungary, Jerman, Poland, Austria dan Switzerland.

Sebelum berlepas ke pentas antarabangsa, MAWO akan memukau penonton menerusi persembahan di konsert Desaku Mendunia sebagai simbol penghargaan dan sokongan kepada semua pihak yang membentuk perjalanan mereka.

Scroll to Top