Danish kini tujuh terbaik Asia B-20

Danish kini tujuh terbaik Asia B-20

PETALING JAYA: Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee membuktikan dirinya kini berada dalam kelompok tujuh terbaik Asia bawah 20 tahun (B-20) selepas mara ke final acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Hong Kong, hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan akhir di kedudukan ketujuh dengan catatan masa 10.43 saat (s) di Kai Tak Youth Sports Ground.

Pingat emas menjadi milik pelari Thailand, Puripol Boonson manakala wakil China, He Jinxian meraih perak sebelum gangsa dimenangi pelari Jepun, Yasukawa Tsubasa yang mencatat masa 10.35s.

Terdahulu, Danish mencipta sensasi apabila berjaya melayakkan diri ke pentas akhir selepas menamatkan saingan separuh akhir di tempat keenam keseluruhan dengan catatan masa 10.38s.

Kejayaan mara ke final itu sekali gus mengesahkan status Danish sebagai antara prospek utama olahraga negara menjelang Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Oregon, Amerika Syarikat, Ogos ini.

Danish sebelum ini muncul antara atlet muda paling menyerlah negara selepas beberapa kali memecahkan rekod kebangsaan remaja selain konsisten mencatat masa bawah 10.50s sepanjang musim ini. – UTUSAN

Scroll to Top