harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pengawal keselamatan maut ditetak dipercayai akibat salah faham dengan rakannya, di Taman Intan Baiduri, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 9.23 malam.
“Difahamkan berlaku pertengkaran antara mangsa mereka sebelum suspek beredar dan kembali semula untuk menetak mangsa.
“Kita (polis) tiba di lokasi tiga minit kemudian mendapati mangsa berusia 44 tahun sudah meninggal dunia,” katanya.
Ahmad Sukarno berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa yang juga warga tempatan ke lokasi kejadian untuk bertemu sekumpulan lelaki di hadapan sebuah rumah ibadat.
Katanya, mangsa dan kumpulan lelaki berkenaan berkumpul sambil minum.
“Polis sedang mengesan suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



