Yassin pulang sehelai sepinggang

Yassin pulang sehelai sepinggang

fatin.farhana@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak Yassin Yahya memilih pulang sehelai sepinggang dan meninggalkan segala barangan miliknya di Jeddah, Arab Saudi kerana sudah tidak sabar bertemu keluarganya, minggu lalu.

Tiada apa yang disesalkan, Yassin menyifatkan enam bulan tempoh penahanan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Jeddah sebagai ‘tempoh pengajian’ yang memberikan pengalaman sangat berharga dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, ini bukanlah ‘mati hidup semula’, tapi ia adalah peluang seterusnya dan saya sudah menamatkan pengajian di universiti di Jeddah.

“Dalam perjalanan nak balik, saya fikir betul ke saya nak balik? Terima kasih kepada Allah atas takdir ini kerana memberikan satu pengalaman berharga. Tak boleh nak gambarkan perasaan ketika sampai ke Malaysia.

“Pertama, saya memang nak jumpa ibu, isteri dan anak-anak, rindu… Saya menggunakan ‘certificate emergency’ kerana saya balik sehelai sepinggang. Dokumen tiada.

“Saya tinggalkan semua barang di Jeddah sebagai kenangan indah. Yang penting, pengajian sudah tamat dan saya boleh balik,” katanya dalam podcast istimewa, Darkcast, Episod Khas – Yassin Yahya, bersalah atau ??? bersama Saiful Apek yang disiarkan dalam YouTube Gitu Gitu Studio, semalam.

Mengulas lanjut, Yassin berterima kepada pihak konsulat di Jeddah dan Malaysia yang banyak memudahkan urusannya.

“Alhamdulillah, saya banyak dibantu konsulat di Jeddah dan saya ada ‘pasport kecemasan’. Saya pulang sehelai sepinggang, jika nak ambil semua barang kena lanjutkan pengajian sebulan lagi. Saya sudah tak boleh tahan, jadi biarlah.

“Bila pengajian tamat, saya beritahu konsulat saya nak balik,” katanya.

Terdahulu, Yassin yang juga anggota Senario tiba dari Jeddah, Arab Saudi, minggu lalu selepas ditempatkan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top