am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Sebanyak 20 dron gergasi bernilai RM1.56 juta cuba diseludup masuk menggunakan laluan laut dengan diisytiharkan sebagai ‘kitchen towel’ (tuala dapur) di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di Selangor, 23 April lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, kesemua dron terbabit dibawa masuk menggunakan sebuah kontena dari sebuah negara jiran.
“Hasil pemeriksaan rapi bersama pegawai
Institut Piawaian dan Penyelidikan (Sirim) mendapati dron terbabit tidak mempunyai Certificate of Approval (sijil kelulusan) daripada Sirim.
“Dron terbabit lazimnya digunakan dalam industri pertanian dianggarkan berharga mencecah RM50,000 di pasaran,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini
Menurutnya, pihaknya sudah merakam keterangan beberapa individu termasuk ejen perkapalan yang membawa masuk konten terbabit namun tiada tangkapan setakat ini.
Katanya, kes penyeludupan dron itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain Raizam berkata, pihaknya merampas 21,351 liter pelbagai jenama minuman keras tidak berkastam yang cuba masuk melalui Pelabuhan Utara, Klang, pada 7 Mei lalu.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti terbabit.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
