Wroclaw: Pihak berkuasa Poland memberi amaran tindakan keras akan diambil terhadap keganasan susulan pergaduhan membabitkan penyokong Chelsea dan Real Betis menjelang final Liga Konferens yang berlangsung pagi ini.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penyokong kedua-dua kelab bergaduh dan membaling kerusi antara satu sama lain di pusat bandar Wroclaw.
Polis Poland memaklumkan, mereka sedang mengenal pasti individu yang terbabit dalam insiden berkenaan dan mengesahkan menahan seorang warganegara Sepanyol selepas pergaduhan tercetus malam tadi.
Tiga lagi penyokong Sepanyol turut ditahan awal pagi tadi selepas menanggalkan bendera rasmi perlawanan akhir.
Final Liga Europa minggu lalu antara Manchester United dan Tottenham Hotspur di Bilbao juga dicemari insiden pergaduhan antara penyokong.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan di jalanan.
“Tiada toleransi terhadap keganasan di jalan-jalan kami! Saya berterima kasih kepada polis atas tindakan tegas terhadap samseng berbaju Chelsea dan Betis di Wroclaw,” katanya di platform X.
“Kami beri amaran: jika perlu, pihak polis akan bertindak lebih keras hari ini!”
Polis Poland juga memberi jaminan bahawa keadaan adalah terkawal dan orang ramai boleh berasa selamat dengan kehadiran besar pasukan keselamatan di kawasan panas sekitar bandar.
Chelsea, juara dua kali Liga Juara-Juara (UCL) dan enam kali juara liga England, tiba di perlawanan akhir selepas menamatkan musim di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, melayakkan mereka ke UCL musim depan.
Penyokong Real Betis pula bersemangat meraikan penampilan pertama kelab itu dalam final kejohanan Eropah dan berharap dapat mencipta kejayaan bersejarah, sekali gus mengatasi pencapaian seteru setempat mereka, Sevilla.
Beberapa jam sebelum sepak mula, suasana masih terkawal walaupun hujan renyai, dan kebanyakan penyokong mengabaikan insiden pergaduhan malam sebelumnya.
“Daripada 50,000 orang, pasti ada segelintir yang buat hal,” kata Juan, penyokong Betis ketika ditemui di dataran bandar lama Wroclaw.
“Kami menikmati setiap saat berada di sini, kami akan berpesta selepas ini, dan harap penyokong Chelsea akan menangis.”
Penyokong Betis lain, Maria pula menambah: “Kami tak takut, kami gembira. Majoriti hanya mahu menikmati perlawanan dan berseronok.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




