PGA rampas rokok tidak bercukai lebih RM2 juta

PGA rampas rokok tidak bercukai lebih RM2 juta

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 6,100 karton rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM2 juta yang disyaki tidak bercukai.

Rampasan dilakukan susulan penahanan seorang lelaki dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Cawangan Risik Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Kedah di KM 139.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar persimpangan Jambatan Pulau Pinang.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, hasil soal siasat mendapati bekalan rokok berkenaan dibawa dari selatan tanah air bagi diedarkan ke pasaran sebelah utara.

Katanya, pihaknya berjaya mengesan pergerakan aktiviti dan modus operandi yang digunakan dalam membawa muatan rokok sebelum diedar kepada peniaga sejak sebulan lalu.

“Kita percaya sudah berjaya mematahkan satu lagi aktiviti sindiket pengedaran rokok yang mengaut keuntungan dengan tidak membayar cukai kepada pihak kerajaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrum berkata, pihaknya sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top