Netanyahu umum Mohammad Sinwar terbunuh dalam serangan Israel

Netanyahu umum Mohammad Sinwar terbunuh dalam serangan Israel

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini mengumumkan pemimpin Hamas, Mohammad Sinwar yang paling dikehendaki terbunuh dalam serangan Israel.

Adik kepada Yahya Sinwar itu menjadi sasaran serangan Israel di sebuah hospital di selatan Gaza dan berkemungkinan terbunuh pada 21 Mei lalu.

“Kami sudah membunuh Mohammad Deif, (Ismail) Haniyeh, Yahya Sinwar dan Mohammad Sinwar,” kata Netanyahu mengesahkan kematian itu di parlimen Israel, Knesset.

Katanya, sejak dua hari kebelakangan ini berlaku pusingan dramatik ke arah kekalahan Hamas dan Israel juga kini mengawal pengagihan makanan, iaitu merujuk kepada sistem agihan bantuan baharu di Gaza yang dikendalikan oleh kumpulan disokong Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, setakat ini Hamas masih belum mengesahkan kematian Mohammad Sinwar.

Mohammad Sinwar dinaikkan ke barisan kepimpinan tertinggi kumpulan pejuang Palestin itu, tahun lalu selepas Israel membunuh abangnya, Yahya.

Yahya Sinwar adalah perancang utama serangan pada Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang yang kini memasuki bulan ke-20.

Beliau kemudian dinamakan sebagai ketua keseluruhan kumpulan itu selepas Israel membunuh pendahulunya, Ismail Haniyeh di Iran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top