am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis sedang mengesan sekumpulan individu disyaki terbabit pergaduhan di kawasan Jalan Kebun Sultan di sini, yang kejadiannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4.27 pagi, 23 Mei lalu.
Katanya, pihaknya mengesan video tular dimuat naik di Facebook pada 1.40 tengah hari ini, memaparkan sekumpulan lelaki keluar dari dua kereta dan memukul beberapa orang yang berada di tempat kejadian.
“Susulan kejadian itu satu laporan polis dibuat hari ini dan kita sedang mengenal pasti kesemua suspek yang terbabit, serta punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian, manakala mereka yang mempunyai maklumat boleh tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Rabiatul Nabilah Rebinor di talian 012-8772106 atau 09-7752200,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




