7 termasuk warga Indonesia ditahan ceroboh hutan simpan tanam sawit

7 termasuk warga Indonesia ditahan ceroboh hutan simpan tanam sawit

bhnews@bh.com.my

Kuantan: Unit Penguat Kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menahan tujuh lelaki termasuk enam warga Indonesia yang menceroboh dengan mengusahakan tanaman kelapa sawit di Kompartment 80 Hutan Simpan Gunung Benum, Raub, semalam.

Dalam serbuan itu turut disita sebuah lori, dua motosikal dan pam racun yang disimpan di stor simpanan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Batu 18, Tersang, Raub.

Pegawai Hutan Daerah Raub, Safiah Aimi Md Isa berkata, seorang warga tempatan berusia 35 di Kampung Sungai Klau, Raub dipercayai menjadi individu penting terbabit memindahkan hasil pertanian yang diusahakan.

Menurutnya, ketika ditahan individu terbabit sedang menjalankan aktiviti memindahkan buah sawit.

Katanya, semua yang ditahan direman empat hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32 (1) dan 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Difahamkan kegiatan menceroboh secara tidak sah dengan menjalankan aktiviti pertanian dalam Hutan Simpan Kekal berlaku sejak 30 tahun lalu dan usaha membanteras kegiatan berkenaan dilakukan secara berterusan.

“Kita percaya kegiatan berkenaan dilakukan lebih daripada tujuh individu kerana ketika serbuan dilakukan terdapat individu yang melarikan diri dalam kawasan hutan.

“Kegiatan menceroboh hutan simpan kekal dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dan aktiviti yang dilakukan itu mengundang pada kesalahan jenayah lain,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa lain menjalankan penguatkuasaan dan tindakan mengikut undang-undang dalam menjaga imej dan kepentingan kerajaan negeri.

Safiah berkata, kerjasama masyarakat setempat dalam menyalurkan maklumat kegiatan menceroboh hutan simpan kekal diperlukan dalam memastikan kegiatan berkenaan tidak berleluasa.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top