rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja.
Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada pucuk pimpinan Umno.
Tengku Zafrul turut mengumumkan keluar dari parti itu sebagai ahli dan menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk daripada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri.
“Saya mengambil masa yang panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana Umno adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai sejak tahun 1997 lagi.
“Akhirnya, keputusan ini dibuat selepas bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sudah menyatakan niat menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Katanya, beliau akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli.
“Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli Umno yang banyak memberi saya sokongan dan dorongan sepanjang aktif di dalam parti.
“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd