Benzema ledak dua gol, bantu Al-Ittihad rangkul Piala Saudi dan gelaran berganda

Benzema ledak dua gol, bantu Al-Ittihad rangkul Piala Saudi dan gelaran berganda

Riyadh: Penyerang sensasi, Karim Benzema, sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol untuk membantu Al-Ittihad menjulang Piala Saudi selepas menewaskan Al-Qadsiah 3-1 dalam aksi final, sekali gus melengkapkan kejayaan ‘double domestik’ musim ini.

Skuad bimbingan Laurent Blanc jelas menguasai permainan, menawan trofi buat kali ke-10 dalam sejarah kelab, sementara Al-Qadsiah menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Ezequiel Fernandez dibuang padang minit ke-81.

Aksi bermula rancak apabila Moussa Diaby hampir membuka jaringan pada minit ke-21, namun sepakannya tersasar. Ketegangan meningkat apabila bekas pertahanan Sepanyol, Nacho, hampir dihukum penalti kerana insiden bola terkena tangan, tetapi pengadil tidak memberi sepakan walaupun selepas semakan VAR.

Benzema, yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Pro Saudi (SPL), mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol pembukaan hasil hantaran lintang Steven Bergwijn, dengan kawalan dada yang kemas pada minit ke-34.

Gol kedua hadir sembilan minit kemudian menerusi Houssem Aouar, yang menyudahkan peluang selepas tandukan Benzema diselamatkan Koen Casteels.

Al-Qadsiah kembali menyengat apabila Pierre-Emerick Aubameyang menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan babak pertama bagi merapatkan kedudukan 2-1.

Babak kedua menyaksikan Al-Ittihad lebih berhati-hati, walaupun Benzema nyaris menambah jaringan selepas percubaannya terkena palang.

Predrag Rajkovic, penjaga gol Al-Ittihad, cemerlang menyelamatkan cubaan Aubameyang minit ke-80 sebelum Al-Qadsiah berdepan tamparan hebat apabila Ezequiel menerima kad kuning kedua.

Segala-galanya berakhir buat Al-Qadsiah apabila Benzema meledak gol ketiga dalam masa kecederaan hasil hantaran rendah Diaby, memastikan kemenangan manis buat Al-Ittihad sebelum Aubameyang sempat menggegarkan palang gol buat kali kedua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top