am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendesak Umno mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.
Sehubungan itu Mohd Puad meminta parti itu menyemak semula akujanji yang ditandatangani Tengku Zafrul semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), termasuk kemungkinan menuntut pampasan sebanyak RM100 juta sekiranya tindakan itu dikira sebagai lompat parti.
“Saya akan mendesak Umno semak balik akujanji semasa Tengku Zafrul menjadi calon BN di PRU ke-15. Apakah Zafrul boleh dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya dalam Facebook, malam tadi.
Menerusi kenyataan dikeluarkan malam tadi, Tengku Zafrul yang Ahli MKT Umno dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.
Disember tahun lalu, Tengku Zafrul dilaporkan mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama PKR, namun masih tidak sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menegaskan isu penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR akan dibangkitkan dalam mesyuarat MKT akan datang, sambil menggesa Umno mengambil pendirian lebih keras terhadap tindakan itu.
“Saya pasti akan membangkitkan isu Tengku Zafrul mahu menyertai PKR dalam mesyuarat MKT akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan Umno tidak boleh hanya menyatakan kekesalan jika PKR menerima Zafrul, sebaliknya mesti menegur PKR secara terbuka.
“Umno juga mesti menegur Presiden PKR jika permohonan Zafrul diterima. Tidak memadai dengan kenyataan Umno rasa kesal.
“Mesti ada perbincangan awal secara sulit yang jadi punca Zafrul sertai PKR. Bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi,” katanya.
Beliau berkata, tindakan PKR menerima bekas pemimpin Umno tanpa rundingan boleh mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan akar umbi parti terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
“PKR mesti diberi amaran. Jika dibiar, tikam belakang akan berlaku lagi. Jangan salahkan Umno jika ahli-ahli Umno hilang kepercayaan terhadap PMX. Kerjasama Kerajaan Perpaduan akan rosak binasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




