TLDM tahan tujuh PATI

TLDM tahan tujuh PATI

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan cubaan membawa masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) di Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor, awal pagi tadi.

TLDM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan cubaan sebuah bot dari negara jiran menyusup masuk ke perairan negara, dikesan radar Sistem Pemantauan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kita menerima maklumat daripada pasukan Maritim Malaysia pada jam 1 pagi dan menggerakkan KD Perdana yang sedang melaksanakan Operasi Benteng Laut (Op Benteng Laut), di perairan negara dekat timur Johor untuk mengatur gerak bot pemintas.

“Dua bot pemintas jenis Bot Tempur 102 (FCB 102) dan Rigid Hull Inflatable Boat Cerdik diatur gerak untuk memintas bot terbabit.

“Bot berkenaan akhirnya berjaya ditahan pada jam 2.50 pagi dan hasil pemeriksaan awal mendapati tujuh PATI serta seorang tekong laut itu dalam cubaan masuk ke Malaysia secara haram, melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.

Menurutu kenyataan itu, semua PATI dan tekong laut terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah. Bot yang digunakan turut tidak mempunyai permit dan dokumen sah.

“Semua PATI serta tekong laut dibawa ke Jeti Marina Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada Pasukan Op Merpati 1 Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk proses penahanan.

“Kementerian Kesihatan akan melaksanakan saringan COVID-19 sebelum tindakan susulan oleh Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top