saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa bermandi peluh sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Indonesia.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta, hari ini, Sze Fei-Izzuddin bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk melakar kemenangan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan berlangsung selama 58 minit itu.
Meskipun mempunyai rekod pertemuan yang baik, iaitu memenangi enam daripada tujuh pertemuan sebelum perlawanan hari ini, Sze Fei-Izzuddin jelas bergelut untuk menumbangkan lawan mereka itu.
Namun ketenangan di set kedua dan penentuan, menjadi kunci kepada kejayaan beregu profesional negara itu.
Minggu lalu di Terbuka Singapura, Sze Fei-Izzuddin kandas di suku akhir selepas di tangan gandingan sensasi India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun membuka kempen dengan penuh bergaya apabila tidak menghadapi masalah untuk mara ke pusingan kedua.
Turun selaku gandingan pilihan dan juara Masters Malaysia, pasangan di ranking ketujuh dunia itu tidak memberi ruang langsung kepada lawan dari Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi–Presley Smith, apabila menang mudah 21-6, 21-11.
Menariknya, perlawanan itu hanya mengambil masa 21 minit, sekali gus membuktikan dominasi dan keserasian gandingan negara yang turut pernah menjulang gelaran di gelanggang sama pada Masters Indonesia, Januari lalu.
Beregu profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong turut meneruskan kemaraan selepas mengatasi Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-17, 21-12 dalam tempoh 32 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




