Massachusetts: Penolong jurulatih, Guy Stephan percaya Perancis menjadi lebih kuat selepas mengharungi ujian fizikal menentang Paraguay dan kini bersedia menghadapi cabaran yang sama sekali berbeza apabila bertemu Maghribi dalam suku akhir Piala Dunia, awal pagi Jumaat ini.
Perancis mara dengan bergaya ke peringkat kalah mati namun terpaksa berhempas-pulas menewaskan Paraguay dalam aksi penuh kekasaran di Philadelphia untuk mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik, Ahad lalu.
Stephan mengesahkan Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) sudah mengemukakan rayuan terhadap kad kuning yang diterima penyerang utama, Michael Olise.
Kad itu adalah satu daripada tiga kad kuning yang dilayangkan kepada pemain Perancis berbanding hanya satu kepada Paraguay.
“Saya fikir bermain dalam perlawanan seperti itu pada tahap kejohanan ini memberi manfaat kepada kami kerana ia memberikan jawapan tentang kemampuan pemain berdepan situasi sukar seperti itu.
“Ia adalah hari yang mudah untuk hilang kawalan tetapi tiada siapa yang hilang kawalan. Itu membuktikan kematangan mereka walaupun majoritinya masih pemain muda.
“Ia perlawanan yang sukar, memenatkan dari segi fizikal dan mental. Kini kami sudah melangkah ke hadapan,” kata Stephan kepada wartawan, hari ini.
Maghribi memburu tempat ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut apabila bertemu Perancis di Boston dan Stephan mengakui lawan mereka memiliki kualiti tinggi.
“Ia akan menjadi lawan yang sama sekali berbeza daripada yang baru kami hadapi.
“Mereka pasukan yang tersusun, berstruktur dan mempunyai kekuatan pertahanan yang baik. Lebih penting, mereka sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas dan menjaringkan banyak gol.
“Mereka juga mempunyai kekuatan individu sama ada di sebelah kanan mahupun kiri. Tidak dinafikan, mereka sebuah pasukan yang berkualiti,” katanya.
Stephan turut memaklumkan penyerang, Marcus Thuram yang terlepas dua perlawanan terakhir akibat kecederaan betis akan kembali menjalani latihan, hari ini.
Bagaimanapun, pemain tengah, Aurelien Tchouameni masih bergelut dengan kecederaan aduktor yang dialaminya sebelum perlawanan menentang Paraguay.
“Kami akan melihat dari hari ke hari sama ada kecederaannya semakin pulih atau tidak.
“Kami agak kesuntukan masa kerana perlawanan berlangsung pada Khamis tetapi dia meneruskan latihan individu hari ini dan esok,” kata Stephan.
Stephan, yang mengambil alih tugas sementara bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika Deschamps pulang ke Perancis susulan kematian ibunya turut mengulas serangan perkauman terhadap kapten Perancis, Kylian Mbappe oleh seorang senator Paraguay.
“Hanya tiga perkataan. Memalukan, jijik dan keterlaluan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




