Kuala Lumpur: Syarikat produksi Respected Citizen dengan kolaborasi Kadokawa Gempak Starz menerbitkan komik edisi terhad ‘Exclusive Box’ Under 18 x Klepet.
Ia bersempena pelancaran filem aksi komedi, Klepet arahan Indra Putra atau Sanji serta menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Nadhir Nasar, Aedy Ashraf, Meerqeen, Hun Haqeem, Adlin Aman Ramlie dan ramai lagi.
Majlis pelancaran ‘Exclusive Box’ diadakan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew berkata, kerjasama yang julung kali diadakan itu adalah satu penghormatan untuk pihaknya kerana dapat membawa karya filem tempatan ke dalam medium komik.
“Kami rasa sangat bertuah kerana dipilih oleh Respected Citizen untuk projek ini. Kami melihat Klepet sangat serasi dengan konsep Under 18, jadi kami tidak teragak-agak untuk turut serta menjayakannya. “Harapan kami agar lebih banyak kerjasama seumpama ini dapat direalisasikan pada masa depan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 5,000 unit kotak eksklusif itu dikeluarkan.
Komik edisi khas ini dihasilkan oleh pelukis terkenal, Zint Lu dan berfungsi sebagai prekuel kepada jalan cerita utama filem Klepet.
Meskipun kedua-duanya membawa naratif berbeza, komik dan filem ini menampilkan watak yang sama.
Sementara itu, Penerbit filem Klepet, Aeril Zafrel yang mewakili Respected Citizen berkata, kolaborasi ini dijangka mampu menambah tarikan terhadap filem yang bakal ditayangkan tahun ini.
“Under 18 x Klepet mempersembahkan naratif eksklusif yang lebih dramatik dan matang. Selain itu menampilkan aksi hebat watak popular seperti Fox dan Jimi.
“Usaha ini membuktikan bahawa gabungan antara dua cabang seni filem dan komik berpotensi untuk mencapai khalayak yang lebih meluas,” katanya.
Peminat komik Under 18 yang tidak berpeluang memiliki kotak eksklusif semasa PBAKL boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui platform media sosial rasmi mereka.
Set edisi terhad ini dijual pada harga promosi RM99 semasa PBAKL, berbanding harga asal RM120. Ia merangkumi komik eksklusif, hoodie, pelekat koleksi dan lanyard istimewa.
© New Straits Times Press (M) Bhd



