Kes lelaki digilis LRT: Mangsa masuk Malaysia 13 Mei lalu

Kes lelaki digilis LRT: Mangsa masuk Malaysia 13 Mei lalu

mhafisn@mediaprima.com.my

Serdang: Polis menyiasat insiden lelaki warga Taiwan maut digilis gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, semakan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 31 Mei lalu.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan berseorangan sebelum terjatuh ke landasan itu.

“Polis juga dalam tindakan berhubung dengan keluarga mangsa melalui pihak kedutaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan lelaki warga Taiwan maut digilis gerabak LRT selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.05 petang.

“Jentera dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang dikerah ke lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki berusia 63 tahun berada di bawah (gerabak) LRT dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan disyaki meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top