Remaja berkenalan dengan selebriti sejak 3 bulan lalu

Remaja berkenalan dengan selebriti sejak 3 bulan lalu

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Remaja perempuan berusia 17 tahun yang menjadi mangsa amang seksual selebriti lelaki mendakwa sudah berkenalan dengan suspek sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian cabul itu daripada ibu mangsa pada 1.57 tengah hari, Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa dikatakan berkenalan dengan suspek di sebuah kafe tempat remaja itu bekerja di Kuala Lumpur.

“Suspek dikatakan mengajak mangsa berjumpa di sebuah hotel di Petaling Jaya dan melakukan amang seksual fizikal kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, susulan itu suspek ditahan pada 2.54 petang, semalam bagi membantu siasatan kes sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017,” katanya.

Shahrulnizam berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke Balai Polis berhampiran ataumenghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan kes.

Harian Metro hari ini melaporkan, pelakon dan penyanyi terkenal ditahan polis semalam selepas melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dilaporkan berkata, mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top