Hobson laung amaran awal menjelang Kejohanan Dunia

Hobson laung amaran awal menjelang Kejohanan Dunia

Chicago: Luke Hobson mencatat masa terpantas 1 minit 43.73 saat (s) untuk memenangi acara 200 meter (m) gaya bebas pada Kejohanan Renang Amerika Syarikat (AS) di Indianapolis, Indiana, awal pagi tadi, sekali gus menghantar isyarat awal menjelang Kejohanan Dunia di Singapura bulan depan.

Hobson, pemenang gangsa acara sama di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, kini menjadi perenang kelima terpantas dalam sejarah bagi acara itu.

Dia turut menyertai legenda renang Amerika Syarikat, Michael Phelps, sebagai satu-satunya rakyat AS yang berjaya mencatat masa di bawah 1:44s.

“Itu sangat hebat. 1:43s memang menjadi sasaran saya sejak beberapa tahun lalu.

“Dan bila berjaya lakukannya di sini, saya rasa sangat teruja. Kini saya tak sabar untuk beraksi di Singapura,” katanya.

Rakan senegara, Gabriel Jett, menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 1.44.70s untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos depan.

Dalam acara 200m gaya bebas wanita, perenang muda berusia 18 tahun, Claire Weinstein, membuat kejutan apabila bangkit di penghujung perlumbaan untuk menewaskan jaguh dunia, Katie Ledecky, dengan catatan 1:54.92s iaitu masa terpantas dunia tahun ini.

Katie pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 1:55.26s.

Katie yang juga pemilik sembilan pingat emas Olimpik, sebelum ini sudah mengesahkan tempat ke Kejohanan Dunia ketujuhnya selepas menewaskan Weinstein dalam acara 800m gaya bebas.

Pemenang pingat emas 100m kuak kupu-kupu Olimpik Paris, Torri Huske, menamatkan saingan di tempat ketiga dan berpeluang merebut tempat dalam pasukan berganti-ganti ke Singapura.

Dalam acara 200m kuak lentang, juara dunia enam kali, Claire Curzan, yang gagal layak ke Olimpik Paris, menunjukkan kebangkitan semula dengan kemenangan bergaya, mencatat masa 2:05.09s untuk menewaskan bekas pemegang rekod dunia, Regan Smith 2:05.84s.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top