Jemaah haji mula ibadat wukuf hari ini

Jemaah haji mula ibadat wukuf hari ini

am@hmetro.com.my

Makkah: Selepas berhimpun di padang Arafah sejak semalam, jemaah haji hari ini, mula melaksanakan ibadat wukuf bagi mengejar keampunan Allah SWT dan mengharapkan doa masing-masing mustajab.

Ibadat wukuf yang juga satu daripada lima rukun haji dilaksanakan bermula selepas gelincir matahari atau masuknya waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum fajar iaitu sebelum subuh pada 10 Zulhijjah.

Signifikannya ibadat wukuf sebagai mengingati kembali peristiwa yang mana Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah SWT serta terpedaya dengan tipu daya iblis.

Lebih besar daripada itu, padang Arafah penting sebagai tempat untuk bermuhasabah diri dengan menyesali segala dosa yang dilakukan sebelum ini dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Ia mengambil kira lokasi padang Arafah yang menjadi saksi bertahun-tahun Nabi Adam dan Hawa memohon ampun daripada Allah SWT sebelum permohonan ampun mereka diterima Yang Maha Esa.

Berdasarkan tinjauan, jemaah mengambil kesempatan waktu pagi untuk bergerak ke Arafah, memandangkan cuaca diramal lebih panas selepas tengah hari.

Ramalan cuaca menyatakan, suhu di sekitar Arafah diramal tinggi hari ini, bermula tengah hari hingga petang, dengan kemuncak antara jam 2 hingga 4 petang yang dijangka mencecah 41 darjah Celsius.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi memaklumkan, jemaah haji tidak dibenar keluar terutama ketika masyair di Arafah antara jam 10 pagi hingga jam 4 petang, susulan jangkaan suhu yang mungkin mencecah maksimum 40 hingga 45 darjah Celsius.

Jemaah juga dilarang untuk ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah yang menjadi antara lokasi kegemaran dhuyufurrahman termasuk dari Malaysia, antara tempoh waktu sama untuk mengelak risiko strok haba.

Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi merekodkan 41 kes kelesuan haba dalam kalangan jemaah haji.

Pada tahun lalu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan, pasukan perubatan merawat 2,764 jemaah yang mengalami kelesuan haba selain pelbagai kondisi lain berkaitan cuaca panas.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Tawfiq al-Rabiah dilapor berkata, untuk mengekang risiko sama, ribuan kipas dengan keupayaan penyejukan disediakan selain 400 unit penyejuk berasaskan air, sementara pihak berkuasa turut menyediakan laluan dilengkapi pelindung termasuk sepanjang 2.5 kilometer yang baharu siap menuju Arafah.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top