KJ kunci mulut akan sertai Kabinet Kerajaan Madani, sedang nikmati kehidupan baik sebagai 'podcaster'

KJ kunci mulut akan sertai Kabinet Kerajaan Madani, sedang nikmati kehidupan baik sebagai 'podcaster'

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Putrajaya: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini, mengunci mulut mengenai desas-desus mengenai beliau bakal menyertai Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata, beliau kini sedang menikmati kehidupan yang baik sebagai pengendali ‘podcast’ atau ‘podcaster’ dan penyampai radio.

“Saya sedang menikmati kehidupan yang baik sekarang, kenapa saya nak tinggalkan ini?” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Serbuk Minuman 3 dalam 1 terbaharu milik Tealive, di sebuah pusat beli belah, di sini.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, meletak jawatan masing-masing selepas tewas dalam pemilihan peringkat pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beberapa laporan media kemudian melaporkan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau bakal kembali menjawat jawatan menteri.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai seruan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya mana-mana individu Melayu, termasuk ahli parti lain untuk menyertai gerakan Sekretariat Orang Melayu, Khairy enggan mengulasnya.

“Saya bukan ahli Perikatan Nasional (PN) dan juga bukan ahli Umno buat masa sekarang. Seeloknya saya tak komen, kita fokus kepada pelancaran ini,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir memaklumkan, satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.

Dr Mahathir berkata, inisiatif itu adalah satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top