georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas dinanti sangat lama, kumpulan fenomena Indonesia, Sheila On 7 (SO7) bakal mengubat kerinduan peminat di sini apabila bakal beraksi di Festival Latihan Pestapora di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada 26 Julai depan.
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, selaku penganjur berkata detik itu pastinya melakar sejarah tersendiri kerana SO7 memang kuat pengaruhnya di Malaysia.
“SO7 bukan sekadar kumpulan muzik. Mereka adalah sebahagian daripada kenangan dengan lagu-lagu mereka yang menjadi ‘anthem’ satu generasi.
“Kepulangan mereka ke Malaysia bukan hanya sebuah persembahan tetapi ia adalah detik yang bersejarah.
“Dengan Stadium Nasional sebagai lokasi baharu, kami bersedia untuk mengukir sejarah festival muzik di Malaysia,” katanya.
Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup cukup gembira dapat membawakan festival yang cukup hebat dari Indonesia itu kepada pencinta muzik di sini pula.
“Pestapora adalah sambutan muzik dan komuniti. Membawa semangat ini ke Malaysia adalah langkah yang tepat dan sangat bermakna buat kami.
“Kami berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara dalam satu malam yang penuh jiwa, muzik, dan kenangan,” katanya.
Susulan sambutan hangat terhadap pengumuman barisan artis Fasa 1 pada Mei lalu, festival ini tingkatkan skala dengan pengumuman barisan Fasa 2 pula iaitu SO7, Nadin Amzah, dan ALVN.
Memindahkan acara itu ke stadium terbesar di Malaysia juga turut akan memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk merasai pengalaman festival berskala besar yang tidak dapat dilupakan.
Terdahulu, barisan artis Fasa 1 yang sah beraksi diumumkan iaitu Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi.
Tiket Fasa 2 akan dijual bermula 9 Jun di laman web latihanpestaporamalaysia. Ia susulan penutupan jualan Fasa 1 yang menyaksikan ribuan peminat membeli tiket walaupun sebelum barisan penuh diumumkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd