farihad@bh.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik raut wajah tenang dan tutur bicara tersusun rapi, ada lara yang tersimpan jauh di lubuk hati pelakon veteran, Harun Hashim.
Pemergian isteri tercinta, Allahyarham Sakinah Ganjali pada penghujung tahun lalu cukup membekas buat aktor veteran. Hingga hari ini, masih lagi merasai sakit menanggung beban rindu disebabkan kehilangan.
Berkongsi perasaan selepas tujuh bulan pemergian arwah isteri, Harun, 69, mengakui agak sukar untuk menerima takdir sudah tertulis buatnya.
“Biarpun saya pernah katakan reda dengan ketentuan ini, namun hakikatnya, saya belum reda. Bagaimanapun, saya cuba pujuk hati untuk terima semuanya dengan berlapang dada.
“Perasaan rindu datang setiap kali saya bawa kereta. Sebelum ini, arwah akan menemani ke mana sahaja saya pergi. Saya ada masalah penglihatan dan dialah bantu tunjuk arah jalan berdasarkan ‘waze’.
“Masih terngiang-ngiang arwah mengerang kesakitan dalam kereta akibat kanser payudara dihidapinya. Untuk meredakan keadaan, saya akan bawa arwah berjalan-jalan dan pulang ke rumah sebelum subuh.
“Antara barang arwah yang saya jadikan kenangan dan masih simpan adalah pakaian serta bantal arwah yang saya guna untuk lapik tubuhnya ketika dalam kereta,” katanya.
Pada 21 November tahun lalu, isteri pelakon itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akibat kanser payudara tahap empat.
Demi kasih dan sayang terhadap arwah, Harun memaklumkan dia sanggup berpindah rumah yang lokasinya tidak jauh dari tempat isterinya disemadikan.
“Selepas arwah selamat dikebumikan, saya terus cari rumah sewa berdekatan dengan tanah kubur. Sekarang, jarak dari rumah ke kubur hanya tiga kilometer sahaja. Sebelum ini, agak jauh juga.
“Saya tak kisah orang nak cakap apa. Bila sudah dekat, saya boleh datang pada bila masa-masa sahaja. Kadang-kadang, sampai tiga kali sehari.
“Selain bacakan surah Yasin, saya akan berkongsi perasaan yang hidup sunyi selepas kehilangannya,” luahnya ditemui pada majlis pratonton telefilem Bilal dan Abah di TV AlHijrah, di ibu negara, baru-baru ini.
Selain Harun, telefilem khas sempena Aidiladha itu turut menampilkan lakonan hebat Azhan Rani, Ummi Nazeera dan Luqman Hafidz.
Drama arahan Pali Yahya itu akan menemui penonton di stesen penyiaran berkenaan pada hari esok, jam 9 malam.
Biarpun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan, Harun berkata, dia masih mampu menguruskan diri sendiri.
“Saya tinggal seorang diri. Anak-anak datang menjenguk kalau mereka ada masa terluang. Kalau lapar, saya akan keluar beli makanan dengan menunggang motosikal atau memandu kereta jika hujan.
“Saya gagahkan juga bawa kenderaan sebab tak ada siapa nak bantu saya. Biasanya, saya ikut jalan dalam yang dikelilingi pokok kelapa sawit.
“Kalau ikut jalan biasa, ada banyak kenderaan dan mata saya pula tak nampak. Itupun bila memandu, saya main agak-agak sahaja,” kongsinya.
Mengenai sambutan Aidiladha yang diraikan seluruh umat Islam hari ini, Harun berkata, rutinnya sudah berubah selepas pemergian Allahyarham Sakinah.
“Ketika sambutan Aidilfitri lalu, masa saya banyak dihabiskan di masjid dan nampaknya Aidiladha juga saya akan duduk di masjid sahaja.
“Saya kena reda situasi yang dihadapi, tidak sama dengan apa yang pernah saya lalui sebelum ini,” ungkapnya.
Sementara itu, masih segar dalam ingatan aktor berkaliber mengenai kebaikan dan pengorbanan arwah sepanjang hidup bersama.
“Berikutan masalah kesihatan dihadapi, saya memang tak boleh bekerja. Arwah membantu saya mencari pendapatan dengan berniaga.
“Berkat dijaga arwah ketika sakit, daripada saya tak boleh berjalan akhirnya boleh berjalan. Saya masih ingat lagi kami bersama cari tin kosong untuk dijual. Kami keluar rumah sebelum subuh.
“Kami tak pernah berenggang dan susah senang tetap bersama. Bila arwah tiada, saya seperti patah kaki kerana kerjaya lakonan pun banyak diuruskan arwah,” kata Harun.
© New Straits Times Press (M) Bhd