Aliff Rakib tumbangkan El Jamari

Aliff Rakib tumbangkan El Jamari

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib menunjukkan erti perjuangan sebenar biarpun kesihatannya tidak berada di tahap terbaik tetapi masih mampu untuk menewaskan lawan dari Maghribi, Elmehdi El Jamari, hari ini.

Turun beraksi dalam kategori strawweight muay thai pada ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Alif tidak menjadikan kesihatan itu sebagai penyebab untuk memperlahankan rentak sebaliknya cukup agresif sepanjang tiga pusingan sehingga diumumkan menang menerusi keputusan sebulat suara.

Petarung berusia 21 tahun itu juga dilihat cukup bijak dalam menyusun serangan dan mencari masa terbaik untuk melepaskan tumbukan serta tendangan padu bagi meyakinkan juri agar memihak kepadanya.

“Saya kurang sihat hari ini, jadi saya terpaksa ubah perancangan. Tapi saya cuba untuk tetap menghiburkan penonton hari ini,” kata Alif selepas diumumkan sebagai pemenang.

Untuk rekod, Alif berjaya meraih kemenangan keempat tanpa kalah sejak Ogos tahun lalu termasuk kemenangan bergaya menerusi knockout (KO) di pusingan pertama ke atas wakil Russia, Shamil Adukhov pada 8 Februari lalu.

Sebagai makluman, Alif kini mempunyai rekod lapan kemenangan dan dua kekalahan sekali gus ia membuktikan wakil Malaysia mampu bersaing di pentas dunia itu.

Lebih manis, kemenangan atlet kelahiran Terengganu itu menebus kekecewaan seorang lagi wakil negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, yang tewas kepada petarung Colombia-Amerika, Diego Paez menerusi keputusan ‘split decision’, dalam pertarungan lebih awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top