ANGE Postecoglou menyatakan rasa bangga apabila berpeluang mengemudi Tottenham Hotspur sepanjang tempoh dua tahunnya, selepas khidmatnya ditamatkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada Sabtu.
Pengendali Australia berusia 59 tahun itu membawa kelab berkenaan merangkul trofi pertama The Lilywhites dalam 17 tahun, bulan lalu, apabila Tottenham menewaskan Manchester United untuk menjuarai Liga Europa.
Namun, kelab itu memecatnya selepas kempen liga terburuk Lilywhites sejak 1976/77, menamatkan saingan satu tangga di atas zon penyingkiran EPL, setelah tewas 22 perlawanan.
“Apabila saya mengenang kembali tempoh saya sebagai pengurus Tottenham Hotspur, perasaan utama saya adalah bangga.
“Peluang memimpin salah satu kelab bola sepak bersejarah England dan mengembalikan kegemilangan yang sewajarnya akan kekal bersama saya sepanjang hayat. Berkongsi pengalaman itu dengan semua yang benar-benar mencintai kelab ini dan melihat impak yang diberikannya kepada mereka adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan.
“Malam di Bilbao itu adalah kemuncak dua tahun kerja keras, dedikasi, dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap satu impian. Banyak cabaran yang perlu diatasi dan banyak ‘bunyi’ yang datang dengan usaha untuk mencapai apa yang ramai katakan mustahil,” kata Postecoglou sejurus pemecatannya disahkan.
Sebelum final Liga Europa, Postecoglou pernah bercakap tentang mengubah persepsi terhadap kelab itu.
Beliau berkata, pencapaiannya sepatutnya memastikan Tottenham tidak perlu menunggu begitu lama untuk trofi seterusnya.
“Kami telah meletakkan asas yang bermakna kelab ini tidak perlu menunggu 17 tahun lagi untuk kejayaan seterusnya.
“Saya mempunyai kepercayaan yang sangat besar terhadap kumpulan pemain ini dan tahu ada banyak lagi potensi serta pertumbuhan dalam diri mereka,” katanya.
Biarpun penyokong-penyokong Tottenham berbelah bahagi mengenai masa depan Postecoglou, beliau mempunyai mesej untuk penyokong.
“Saya ikhlas ingin ucap terima kasih kepada mereka yang menjadi nadi kelab, iaitu penyokong-penyokong Tottenham Hotspur
“Saya tahu ada kalanya sukar tetapi saya sentiasa merasakan bahawa mereka mahu saya berjaya dan itu memberikan saya semua motivasi yang diperlukan untuk terus berusaha.
“Dan akhirnya, saya ingin ucap terima kasih kepada mereka yang bersama saya setiap hari selama dua tahun lalu. Sekumpulan anak muda yang hebat yang kini adalah lagenda kelab bola sepak ini dan barisan jurulatih cemerlang yang tidak pernah ragu-ragu kami boleh melakukan sesuatu yang istimewa. Kami selamanya terhubung,” katanya.