redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: Niat pemuda ini memuat naik video membuat pengumuman dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin serta Tamil sekadar berkongsi rutin kerjanya di sebuah pasar raya.
Bagaimanapun, perkongsian Abdul Rahim Abd Razak, 29, di TikTok mendapat sambutan luar biasa apabila video itu meraih lebih 680,000 tontonan setakat ini.
Ruangan komen akaun TikTok Abdul Rahim juga dibanjiri pelbagai reaksi warganet dan rata-ratanya kagum dengan kebolehan pemuda itu.
Bercerita lanjut, Abdul Rahim yang bekerja di unit khidmat pelanggan mengakui bukan fasih bertutur dalam empat bahasa seperti dalam video berkenaan.
“Tapi salah satu tugas saya adalah buat pengumuman bagi memaklumkan pelanggan waktu pasar raya akan ditutup.
“Pelanggan yang datang pula daripada pelbagai kaum jadi itu sebabnya pengumuman dibuat dalam empat bahasa berlainan.
“Itu antara rutin kerja saya sejak tiga tahun lalu dan awalnya buat pengumuman dalam bahasa Melayu dan Inggeris saja. Sejak dua tahun lalu, saya tambah lagi pengumuman dua lagi bahasa iaitu Mandarin dan Tamil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia sendiri yang menulis skrip pengumuman berkenaan selepas merujuk dengan beberapa individu.
Katanya, setakat ini, penerimaan pelanggan baik dan mengakui seronok setiap kali ditugaskan membuat pengumuman dalam empat bahasa.
“Saya tak pernah masuk kelas Mandarin atau Tamil. Tapi boleh cakap Mandarin sikit-sikit kerana selalu berjumpa dan sembang dengan pelanggan.
“Bahasa Tamil pula saya belajar dengan rakan sekerja dan mak cik (ibu saudara) kerana dia dulu duduk di kawasan estet jadi banyak bergaul dengan komuniti India.
“Sekarang ini memang tak fasih lagi pun tapi dalam proses belajar dan tak sangka bila video itu tular sampai cecah jutaan tontonan di beberapa portal,” katanya yang berasal dari Batang Kali, Selangor.
Di sebalik pujian, Abdul Rahim mengakui banyak juga kecaman diterima terutama selepas video itu tular di Facebook (Fb).
“Ramai netizen di Fb hentam saya dan persoalkan kenapa tak utamakan bahasa Melayu sedangkan ia bahasa kebangsaan.
“Hakikatnya, saya mulakan pengumuman dalam bahasa Melayu tapi saya terima kecaman kerana faham setiap orang ada pandangan masing-masing.
“Kalau ada rezeki, saya memang nak kuasai banyak bahasa dan ada perancangan masuk kelas Mandarin untuk permulaan. Seterusnya belajar bahasa lain pula dan di ‘live’ TikTok pun sudah ada yang minta saya cakap dalam bahasa Thailand jadi cuba juga belajar kerana tak salah pun,” katanya yang turut mengambil tawaran sebagai pengacara majlis pada masa terluang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




