KANGAR: Kerajaan negeri akan terus memastikan kepentingan atlet serta kelangsungan pembangunan sukan negeri terpelihara sama ada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 ditangguhkan ataupun sebaliknya.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat khas bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis bagi membincangkan secara lanjut berhubung temasya Sukma dan Para Sukma Selangor 2026.
Katanya, mesyuarat itu adalah bagi membincangkan langkah-langkah susulan yang bakal diambil sekiranya penganjuran temasya sukan itu ditangguhkan atau sebaliknya.
“Perbincangan itu juga adalah sebagai persediaan awal seandainya berlaku sebarang perubahan tarikh mahu pun lokasi penganjuran berkenaan.
“Sama ada temasya ini ditangguhkan atau diteruskan, kita berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kepentingan atlet serta kelangsungan pembangunan sukan negeri terus terpelihara.
“Saya juga amat memahami komitmen tinggi ditunjukkan oleh atlet negeri ini yang mengikuti latihan berterusan dengan disiplin dan semangat juang tidak pernah luntur.
“Saya turut menyeru agar semua atlet terus kekal bersemangat, fokus dan terus berjuang dalam latihan. Kekalkan semangat juara dalam diri yang telah dibakar selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah menyarankan supaya penganjuran Sukma yang akan berlangsung pada Ogos ini ditangguhkan susulan konflik Asia Barat.
Baginda bertitah, penganjuran sukan dwi tahunan itu melibatkan peruntukan tinggi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu susulan tekanan kenaikan harga minyak akibat konflik di Asia Barat.
Sementara itu, Wan Zikri berkata, pihaknya juga akur dengan sebarang keputusan berhubung penganjuran Sukma Selangor 2026 setelah mengambil kira pelbagai faktor yang akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri Selangor selaku penganjur.
“Saya berharap agar akan ada satu titik penyelesaian yang terbaik tanpa merugikan mana-mana pihak terutama negeri negeri yang menyertai Sukma” katanya.-UTUSAN




