PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) membuka cawangan terbaharu di Melaka International Bowling Centre (MIBC), Ayer Keroh, Melaka sekali gus mengukuhkan komitmen bank dalam memperluas rangkaian dan perkhidmatan perbankan Islam di negeri itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, cawangan baharu itu terletak strategik di kawasan pentadbiran negeri dan perindustrian pesat membangun, sekali gus membolehkan Bank Muamalat menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada penduduk sekitar, komuniti perniagaan dan agensi kerajaan.
“Kami percaya cawangan ini akan memperkukuh peranan kami sebagai rakan strategik kepada pembangunan negeri.
“Kehadiran kami di Melaka adalah manifestasi komitmen jangka panjang Bank Muamalat untuk memperluaskan akses kewangan Islam kepada komuniti setempat, menyokong agenda digitalisasi dan memperkasa keusahawanan,” katanya dalam kenyataan.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk akaun deposit dan pelaburan, pembiayaan rumah dan perniagaan, Ar-Rahnu, takaful, pelaburan emas dan unit amanah, serta urusan zakat dan Tabung Haji.
Bank ini turut dilantik sebagai ejen rasmi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Dalam majlis sama, Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM57,200 kepada sembilan masjid dan dua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpilih di sekitar negeri ini sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sejak memulakan operasi pada 28 April lalu, cawangan itu telah menerima sambutan yang menggalakkan dengan lebih daripada 400 pelanggan baharu dan jumlah transaksi melebihi RM4.9 juta direkodkan dalam tempoh sebulan. – UTUSAN