Polis sahkan video tular adalah kemalangan bas bawa pelajar UPSI

Polis sahkan video tular adalah kemalangan bas bawa pelajar UPSI

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rakaman video tular sebuah bas memotong dengan laju ketika menghampiri selekoh disahkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, rakaman kejadian terbabit diperoleh daripada seorang pemilik kenderaan yang tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kejadian terbabit dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan terbabit dan ia diserahkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

“Kita sedang menganalisis rakaman tersebut sebagai bahan bukti untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rakaman berdurasi 34 saat itu memaparkan kenderaan dipandu dalam keadaan gelap sebelum sebuah bas dilihat memotong dengan laju ketika menghampiri selekoh.

Bas berkenaan kemudian hilang kawalan lalu terbalik di atas pembahagi jalan, hanya beberapa meter di hadapan kenderaan yang merakam kejadian itu.

Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta dipercayai yang merakam kejadian terbabit kemudiannya dilihat memotong bas yang terbalik sebelum video tersebut tamat.

Terdahulu dilaporkan 15 maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top