syafil.syazwan@hmetro.com.my
(Yang menemubual pelakon Squid Game musim ketiga, Park Sung-hoon)
Kuala Lumpur: Pelakon Korea Selatan, Park Sung-hoon menyifatkan wataknya sebagai Cho Hyun-joo dalam drama bersiri popular, Squid Game musim kedua dan ketiga sebagai satu anugerah yang memperluaskan skop lakonannya serta memberi impak besar terhadap kerjayanya.
Sung-hoon dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro berkata, watak Hyun-joo yang tampil sebagai individu berprinsip, penyayang dan mementingkan orang lain berbeza sama sekali dengan watak-watak terdahulunya yang lebih cenderung kepada sisi antagonis atau jahat.
“Sebelum ini, saya banyak dikenali menerusi watak jahat termasuk dalam The Glory dan The Queen of Tears. Saya sempat juga rasa bimbang kalau-kalau terus ‘terperangkap’ dalam stereotaip itu.
“Tetapi Hyun-joo hadir seperti satu hadiah buat saya. Dia bukan saja berbeza, malah membolehkan saya menunjukkan sisi lain dalam lakonan.
“Dia seorang yang sangat mementingkan orang lain, tidak pentingkan diri dan punya kompas moral yang jelas,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Sung-hoon dalam temu bual itu lagi, peluang membawakan watak yang memiliki nilai-nilai murni dalam situasi dunia yang kejam dan mencabar seperti dalam Squid Game menjadikannya lebih menghargai kemanusiaan dan kedalaman emosi seorang manusia.
“Watak Hyun-joo sangat ‘cool’. Dia bukan saja berani, tetapi juga sangat konsisten dengan nilai-nilai kemanusiaan walaupun dalam permainan yang memerlukan pengorbanan nyawa.
“Saya sangat menghargai peluang ini kerana ia bukan saja mencabar dari segi emosi, tetapi juga mendidik saya sebagai seorang pelakon dan manusia,” katanya.
Sung-hoon menyertai Squid Game dalam musim kedua sebagai salah seorang pemain utama, peserta transgender yang dikenali sebagai Pemain 120.
Sebelum ini, musim pertama Squid Game mencatat fenomena global dan melonjakkan populariti pelakon-pelakonnya ke tahap antarabangsa. Musim ketiga akan mula ditayangkan pada 27 Jun ini di platform Netflix.
© New Straits Times Press (M) Bhd