Nahas penuntut UPSI: Bas tak dilengkapi tali pinggang keledar penumpang

Nahas penuntut UPSI: Bas tak dilengkapi tali pinggang keledar penumpang

am@hmetro.com.my

Georgetown: Bas sewa khas yang terbabit dalam nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat semalam tidak dilengkapi tali pinggang keledar penumpang.

Ini kerana kenderaan itu dibuat pada 2013 iaitu sebelum peraturan pemasangan tali pinggang penumpang berkuat kuasa selepas 2020.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berikutan itu kementeriannya kini sedang meneliti penggunaan teknologi seperti pengehad kelajuan atau ‘speed limiter’ dan kamera video dalam kenderaan berat sebagai langkah keselamatan selain mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres.

“Satu perkara yang saya ingin tegaskan ialah semua bas baharu sekarang ini dimandatorikan untuk memasang tali pinggang iaitu bagi semua bas yang dibina selepas 2020, wajib ada tali pinggang cuma dalam insiden yang berlaku itu, bas berumur 12 tahun dan ia dibina pada 2013 jadi tiada tali pinggang (penumpang).

“Kita bukan tiada peraturan atau undang-undang, ada orang kata kita tiada undang-undang (sedangkan) ada undang-undang mewajibkan pemasangan dan juga pemakaian tali pinggang, tetapi cabaran adalah pematuhan bagaimana kita pantau pada setiap masa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis CruiseWorld Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Loke mengakui pelaksanaan dasar keselamatan jalan raya sering berdepan kritikan sama ada terlalu tegas atau tidak cukup tegas namun beliau menggesa semua pihak dan anggota masyarakat termasuk pengusaha pengangkutan bersama-sama memainkan peranan demi menjaga keselamatan terutamanya pengguna jalan raya.

“Saya menerima bahawa semua orang bimbang dan prihatin terhadap isu keselamatan jalan raya, saya juga sangat khuatir dan sangat terkesan dengan apa yang berlaku, jadi semua pihak, masyarakat kita mesti bersama-sama dalam perkara ini bukannya menuding jari kepada sesiapa.

“Apabila kita melaksanakan sesuatu itu, biar ada sokongan semua pihak, juga pemain-pemain industri, pengusaha jangan apabila kita letakkan sesuatu perkara yang wajib mereka pula kata terbeban ada kos tambahan dan sebagainya tetapi apa yang kita nak laksanakan ini demi keselamatan serta nyawa manusia.

“Sekarang ini ada sistem sensor dan sebagainya, kalau tak pakai akan ada bunyi. Perkara ini kita akan teliti dengan lebih terperinci supaya wajibkan pemandu pastikan setiap penumpang memakai tali pinggang keledar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top