am@hmetro.com.my
Besut : “Arwah (Nurly Shahirah) suka mengulang bacaan hafazan al-Quran dengan cara menulis pada helaian kertas kosong untuk menguatkan ingatan,” kata abangnya, Mohd Najmuddin Azman, 28.
Nurly Shahirah Azman, 23, adalah antara 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang maut dalam kemalangan juga seorang hafizah 30 juzuk al-Quran.
Katanya, dia dan arwah adalah bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan juga hafiz al-Quran.
“Koleksi tahriri (salinan tulisan tangan) al-Quran ditulis sendiri arwah yang saya kongsikan di laman sosial facebook adalah naskah wajib ketika menuntut di Imtiaz.
“Setiap pelajar Imtiaz diwajibkan untuk membuat tahriri ketika menghafal al-Quran ketika berada di tingkatan satu hingga tiga.
“Namun Nurly agak istimewa kerana walaupun sudah menamatkan pelajaran di Imtiaz dia tetap meneruskan rutin harian itu sehingga berada di universiti,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jertih, di sini, hari ini.
Katanya, proses untuk menjaga hafazan al-Quran lebih sukar berbanding proses menghafalnya.
“Sehingga akhir hayat Nurly sentiasa berhubung dengan ustaz serta ustazahnya untuk minta tebuk (uji) bacaan hafazan bagi menguatkan ingatan.
“Selalunya dia akan meluangkan masa selepas Maghrib serta lewat malam untuk mengulang bacaan bersendirian,” katanya.
Katanya, Nurly juga lebih pentingkan bawa al-Quran berbanding telefon setiap kali dia pergi ke mana-mana sehingga dia ditemui dalam keadaan mendakap al-Quran ketika kejadian kemalangan hingga ke bilik forensik.
“Ada kenalan maklumkan ketika menguruskan jenazah arwah ada bau harum begitu juga sahabatnya maklumkan bilik asrama mereka di universiti turut berbau harum selepas kejadian,” katanya.
Sementara itu bapanya, Azman Mohamad, 63, berkata, perasaan tenang ketika menerima berita pemergian anaknya adalah hasil daripada keimanan yang teguh serta percaya qada’ dan qadar.
“Jika diikutkan dengan umur saya sekarang sudah tidak larat untuk memandu jarak jauh namun disebabkan aura arwah saya mampu memandu sendiri hingga ke Perak serta pulang pada malam itu ke Besut.
“Saya sangat tegas dengan anak-anak bab agama serta pelajaran sejak usia mereka masih kecil lagi.
“Ramai yang datang minta tip atau rahsia mendidik Nurly namun bagi saya paling utama ibu bapa perlu jadi contoh pada anak-anak dahulu,” katanya.
Katanya yang juga pesara kerajaan, sebelum mengajar anak ibu bapa perlu membersihkan diri dengan memastikan sumber rezeki yang dicari untuk keluarga adalah daripada sumber halal serta berkat.
“Saya sentiasa pastikan anak-anak solat lima waktu secara berjemaah serta pupuk minat untuk mendalami al-Quran setiap masa.
“Antara pesanan saya terhadap rakan arwah serta semua orang belajar al-Quran bersungguh-sungguh dan sentiasa memartabatkan al-Quran,” katanya.
Katanya, dia sempat memenuhi permintaan terakhir arwah untuk membeli sebuah Perodua Bezza bagi memudahkannya berulang-alik menjalani latihan praktikum di Sekolah Menengah Kebangsaan Gong Nering pada Ogos nanti.
Sementara itu ibunya, Kamariah Abdul Latif, 60, berkata, sepanjang mengandungkan arwah serta anak-anak yan lain dia sering menjadikan membaca al-Quran sebagai amalan.
“Arwah Nurly khatam baca al-Quran ketika berumur sembilan tahun dan mula membaca Iqra’ seawal empat tahun.
“Setiap malam Jumaat kami satu keluarga akan membaca surah Yasin bersama-sama dan ini dijadikan amalan sejak mereka masih kecil,” katanya.
- Al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah jadi tumpuan
- Hafizah Al-Quran antara 15 korban tragedi bas di Gerik
© New Straits Times Press (M) Bhd




