Wales jadi medan pemanas badan terakhir skuad hoki negara – Sarjit

Wales jadi medan pemanas badan terakhir skuad hoki negara – Sarjit

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Speedy Tigers ingin menggunakan kesempatan terakhir menentang Wales, Jumaat ini sebelum berjuang di saingan Piala Negara-Negara di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil bermula Ahad ini hingga 21 Jun.

Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh berkata, beliau perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memastikan setiap pemain mendapat minit permainan mencukupi sebelum membuat keputusan memilih barisan terbaik bagi perlawanan pembukaan nanti.

“Kami akan beri peluang kepada semua 20 pemain yang akan bermain dalam kejohanan ini.

“Kami nak uji semua pemain ini sebab sebelum ini kita sudah mengharungi dua siri jelajah iaitu Jelajah Australia dan Jelajah Korea Selatan dan ini persiapan terakhir sebelum kejohanan.

“Motivasi pemain berada di tahap tertinggi. Sudah setahun lebih kami bersama dalam pasukan dan sekarang kami dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.

“Pemain tahu apa yang saya mahukan, kami semakin kuat dan lebih baik,” katanya.

Perlawanan persahabatan menentang Wales akan diadakan di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil pada Jumaat ini dan menjadi persiapan terakhir buat pasukan negara.

Selain itu, jurulatih berusia 63 tahun itu meminta barisan pemain untuk mendapatkan dua kemenangan awal sebagai motivasi untuk meneruskan perjuangan dalam saingan kali ini.

“Sebab semua pasukan yang menyertai kejohanan ini mahukan kemenangan.

“Kalau kami menang aksi pertama, ia akan mencerahkan peluang pasukan dan bagi aksi kedua, anda memerlukan enam mata untuk layak ke separuh akhir,” katanya.

Sebagai makluman, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan, sementara Kumpulan A dihuni Afrika Selatan, Perancis, Korea Selatan dan Wales.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan menentang Pakistan pada 15 Jun, diikuti New Zealand (16 Jun) dan perlawanan terakhir menentang Jepun (18 Jun).

Untuk rekod, pencapaian terbaik Speedy Tigers dalam kejohanan ini ialah berada di kedudukan keempat pada edisi pertama dan tempat ketujuh di edisi kedua.

Bagi edisi ketiga tahun ini, Pengurus Pasukan Hoki Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top