am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Suri rumah kerugian RM521,450 selepas terpedaya dengan pelaburan yang diperkenalkan oleh jirannya sejak tiga tahun lalu.
Mangsa berusia 57 tahun hanya sedar dirinya terjebak dalam penipuan berkenaan selepas tidak dapat mengeluarkan keuntungan yang diperoleh.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa diperkenalkan satu pelaburan dinamakan Khazanah Bank Negara oleh jirannya yang kemudian memperkenalkannya dengan seorang wanita yang berperanan sebagai pegawai pemasaran.
“Wanita itu (suspek) memberikan penerangan kepada mangsa yang mana pelaburan ini menawarkan simpanan dan pelaburan satu kali ganda dari jumlah modal dalam tempoh satu bulan.
“Mangsa kemudian berminat untuk menyertai pelaburan ini dan mula membuat pembayaran pada 4 Mac 2022 hingga 22 Januari 2024 sebanyak 51 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza berjumlah RM521,450.
“Dia akhirnya sedar ditipu apabila ingin mengeluarkan keuntungan yang diperoleh tetapi suspek asyik memberikan pelbagai alasan kepadanya iaitu pelaburan mangsa belum mencapai tempoh matang dan mangsa tidak perlu risau kerana wang disimpan dalam Bank Negara (BNM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek juga pada masa sama meminta mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan bagi urusan mendapatkan modal dan keuntungan.
“Mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
