Lelaki ditemukan tidak bernyawa di bawah pokok kelapa

Lelaki ditemukan tidak bernyawa di bawah pokok kelapa

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Lelaki ditemukan meninggal dunia di bawah pokok kelapa di Kampung Rhu Muda, Marang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, mayat lelaki berusia 47 tahun ditemui dalam keadaan meniarap dengan mukanya tersembam di tanah oleh adik iparnya berusia dalam lingkungan 30-an pada 4.44 petang semalam.

Menurutnya, mangsa dikatakan keluar daripada rumah sejak pagi Selasa untuk memanjat kelapa tetapi tidak pulang sehinggalah semalam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai serta anggota polis ke lokasi kejadian dan menemukan mayat di bawah pokok kelapa.

“Kita juga turut menemui seutas tali panjang, sebilah parang dan sebuah kereta sorong milik mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Sofian berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh sepasukan pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan yang ke lokasi kejadian pada jam 6.05 petang.

Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat dijalankan mendapati kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada bahagian muka disebabkan terjatuh daripada tempat tinggi.

“Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian pada 11.20 malam tadi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top