MPB, PAAB jalin kerjasama didik kepentingan pelihara sumber air

MPB, PAAB jalin kerjasama didik kepentingan pelihara sumber air

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menjalinkan kerjasama strategik dengan Media Prima Berhad (MPB) dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan memelihara sumber air negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu digerakkan secara meluas bagi menyemai kesedaran agar menghargai air terawat serta menjaga kawasan tadahan air yang menjadi nadi kepada sistem bekalan air negara.

Menurutnya, PAAB kini giat melaksanakan projek-projek mega di negeri-negeri yang sudah melalui proses migrasi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti Kelantan, Kedah, Pahang dan Perlis.

“Fokus kami adalah membantu syarikat operator air di negeri yang mencatat kadar air tidak berhasil atau ‘non-revenue water’ (NWR) melebihi 40 peratus.

“Untuk Kelantan sahaja, kita telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion, manakala Kedah (RM1.2 bilion) dan Pahang (RM700 juta),” katanya.

Jaseni berkata demikian ketika ditemui dalam kunjungan korporat bersama pengurusan kanan PAAB ke Balai Berita, di sini, hari ini.

Mereka disambut oleh Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB, Rosli Sabarudin dan Pengarang Urusan Kumpulan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PAAB, Ir Abdul Samad Sulaiman dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim.

Sementara itu, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai potensi kerjasama pada masa depan bagi menyokong agenda nasional dalam memastikan bekalan air yang mampan untuk rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top