Baitulmaqdis/Dubai/Washington: Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran pada Jumaat dengan menyasarkan fasiliti nuklear, kilang peluru berpandu balistik dan komander tentera.
Seorang pegawai tentera Israel berkata, Israel sedang menyerang ‘puluhan’ sasaran nuklear dan ketenteraan termasuk fasiliti di Natanz, Iran tengah.
Pegawai itu berkata, Iran mempunyai bahan mencukupi untuk menghasilkan 15 bom nuklear dalam beberapa hari.
Amerika Syarikat (AS) menyatakan ia tidak terbabit dalam operasi itu yang meningkatkan risiko ketegangan baru di Timur Tengah, satu wilayah pengeluar minyak utama.
Presiden AS Donald Trump berkata, Iran tidak boleh memiliki bom nuklear dan Amerika Syarikat berharap untuk kembali ke meja rundingan, dalam satu temu bual bersama Fox News selepas bermulanya serangan udara Israel ke atas Iran.
Tentera AS merancang untuk menghadapi pelbagai kemungkinan di Timur Tengah, termasuk kemungkinan terpaksa membantu pemindahan warga awam Amerika, kata seorang pegawai AS kepada Reuters.
Selain serangan udara yang meluas, agensi perisikan Israel, Mossad, turut mengetuai beberapa operasi sabotaj rahsia di dalam Iran, menurut laporan Axios yang memetik seorang pegawai kanan Israel.
Operasi itu bertujuan merosakkan tapak peluru berpandu strategik Iran dan keupayaan pertahanan udaranya.
Media kerajaan Iran melaporkan sekurang-kurangnya dua saintis nuklear, Fereydoun Abbasi dan Mohammad Mehdi Tehranchi terbunuh dalam serangan Israel di Tehran.
Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv ditutup sehingga diberitahu nanti dan unit pertahanan udara Israel berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi untuk menghadapi kemungkinan serangan balas dari Iran.
Pegawai dari AS dan Iran dijadualkan mengadakan pusingan keenam perbincangan mengenai program pengayaan uranium Iran yang semakin meningkat di Oman pada Ahad, menurut pegawai dari kedua-dua negara serta pihak pengantara Oman.
Seorang pegawai AS berkata, perbincangan terbabit masih dijadualkan akan diteruskan walaupun selepas serangan Israel.
Tentera Israel berkata pada Jumaat bahawa mereka terpaksa bertindak berdasarkan maklumat risikan baharu yang menunjukkan Iran ‘hampir ke titik tidak boleh kembali’ dalam pembangunan senjata nuklear.
Satu sumber yang mengetahui laporan risikan AS berkata, tidak ada perubahan terkini dalam penilaian risikan AS bahawa Iran tidak sedang membina senjata nuklear dan bahawa Khamenei belum membenarkan penyambungan semula program senjata nuklear yang dihentikan pada 2003.
© New Straits Times Press (M) Bhd




