firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ura-ura selama hampir lima bulan mengenai pelantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin menemui tititk noktahnya apabila satu Kongres Luar Biasa FAM 2025 akan diadakan pada 30 Jun ini.
Menerusi satu salinan notis pemakluman Kongres Luas Biasa 2025 itu, panggilan kongres itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali ke-3 2025-2029 yang berlangsung semalam.
Menurut sumber, notis berkenaan diberikan kepada semua ahli gabungan FAM dengan setiap perwakilan perlu menghantar dua wakil pada kongres itu.
Malah, daripada dua wakil berkenaan hanya seorang akan dibenarkan untuk mengundi sekali gus kemungkinan berlakunya penambahan kerusi dalam hirarki pengurusan badan induk itu khususnya bagi jawatan Presiden Kehormat.
“Dalam notis itu tidak dinyatakan secara terperinci agenda kongres luar biasa itu. Ahli gabungan tertanya-tanya apa agenda sebenar. Cuma mungkin khabar angin kuat mengatakan kongres luar biasa itu untuk mengesahkan pelantikan Presiden Kehormat,” kata sumber itu.
Sebelum ini, spekulasi mengenai pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat pernah dibangkitkan sebaik beliau mengumumkan hasrat tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan Januari lalu.
Dengan keputusan Hamidin untuk tidak bertanding menyaksikan ‘kerusi panas’ itu diisi Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden FAM.
Sumber sama turut memaklumkan, dakwaan yang kononnya Kongres Luar Biasa itu akan mengusulkan undi tidak percaya pada Joehari adalah tidak benar.
© New Straits Times Press (M) Bhd