Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah sekali lagi mencuri perhatian selepas sepotong video pendek yang dikongsikan adiknya yang juga penyanyi Didi Astillah baru-baru ini tular.
Menerusi perkongsian video tersebut, Didi sedang melakukan sesi siaran langsung di TikTok ketika sedang disolek oleh kakaknya sebelum peminat bertanyakan soalan kenapa Bella tidak melakukan rawatan lasik seperti yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Bagaimanapun, jawapan yang diberikan Bella ketika diajukan soalan tersebut menerima resposn positif dalam kalangan peminat.
“Kenapa tak buat rawatan lasik? Not now lah, bagilah orang-orang yang saya sayangi dulu,” katanya.
Menyedari Didi sedang melakukan sesi Live, Bella kemudian memaklumkan orang-orang yang disayangi itu merujuk kepada ayah dan adik-beradiknya.
“Eh, semualah… adik-adik, ayah,” balasnya ringkas.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warganet teruja mendengar kenyataan tersebut.
Malah, ramai yang mengakui itu adalah sifat Bella yang sentiasa mendahulukan orang-orang yang dia sayang.







