Washington: Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa menghadiahkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sehelai jersi Portugal yang ditandatangani Cristiano Ronaldo semasa sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada, semalam.
Costa yang juga warga Portugal mempengerusikan Majlis Eropah sejak 2024, tiba di Kananaskis, Alberta, kelmarin.
Dalam satu pertemuan tertutup, Costa menyerahkan jersi bernombor 7 yang ditandatangani Ronaldo itu kepada Trump.
Bekas Perdana Menteri Portugal itu membaca kuat mesej yang tertulis di atas jersi tersebut: “Kepada Presiden Donald J. Trump, Bermain untuk Keamanan.”
Trump, yang kini berusia 79 tahun, memegang jersi itu dengan kedua-dua tangan dan berkata: “Saya suka, bermain untuk keamanan.”
Cristiano Ronaldo, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali dan kini berusia 40 tahun, merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki dengan 138 gol.
Dia baru-baru ini mengetuai Portugal menjuarai Liga Negara-Negara UEFA. Penyerang Al Nassr itu dijangka beraksi bersama Portugal dalam Piala Dunia tahun hadapan yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Ini bukan kali pertama Ronaldo terlibat dalam usaha di luar padang. Sepanjang kerjayanya, beliau menderma jutaan ringgit kepada hospital, membiayai rawatan perubatan untuk kanak-kanak yang memerlukan, dan bersuara menyokong pelbagai tujuan kemanusiaan.
Walaupun isyarat terbarunya ini dibuat secara tidak langsung, ia mengukuhkan lagi peranannya sebagai tokoh global yang melangkaui sempadan dunia sukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




