Menggayakan hiasan perak

Menggayakan hiasan perak

nurul_husna@hmetro.com.my

PENAMPILAN wanita tidak sempurna tanpa gandingan aksesori dan barang perhiasan.

Kebanyakannya cenderung memilih perhiasan berasaskan emas dan permata kerana mahu kelihatan lebih menonjol.

Namun, ada sebahagiannya pula gemar mengenakan perhiasan perak kerana mahu tampak sederhana dan tidak berlebihan.

Malah, perhiasan perak tidak kurang menariknya jika peminatnya bijak memilih rekaan sesuai dan menyesuaikan dengan penampilan mereka.

Justeru, dikongsikan tip penting dalam pemilihan perhiasan perak bagi peminat hiasan berkenaan:

Memahami gaya

Sebelum memilih barang perhiasan perak untuk digayakan, penting bagi wanita mengetahui pilihan gaya atau konsep penampilan mereka.

Perhiasan perak seperti barang kemas berasaskan emas kerana memiliki rekaan berdasarkan konsep tertentu.

Contohnya dalam rekaan perhiasan perak, ada potongan klasik, elegan, kontemporari atau ‘edgy’ yang boleh dipilih peminat perhiasan itu.

Gaya itu akan disesuaikan bersama busana supaya tampak harmoni dan penampilan wanita itu lebih menarik.

Kombinasi aksesori perak bersama hiasan lain

Pemakaian aksesori di zaman ini lebih terbuka kerana konsep ‘rojak’ atau ‘fusion’ sudah diterima ramai termasuklah dalam penggayaan aksesori dan barang kemas.

Malah dikatakan perhiasan perak bersama perhiasan logam lain seperti ‘rose gold,’ titanium atau emas dikatakan lebih ‘trendy.’

Ciri-ciri penting di sini ialah kebijaksanaan pemakai untuk seimbangkan pemakaian aksesori supaya tampak serasi dengan konsep berlainan elemen atau material.

Pemakaian barangan perhiasan daripada sumber berlainan memberi gaya lebih kompleks dan mengujakan.

Wujudkan kontra menerusi padanan batu hiasan

Tona batu hiasan tertentu lebih menonjol jika dipadankan dengan perhiasan barangan perak.

Ia menambah kilauan pada gaya perhiasan perak yang selalunya tampak sederhana.

Warna batu seperti delima, nilam atau batu bumi seperti ‘aquamarine’ menyerlahkan lagi pesona perhiasan perak.

Teknik lapisan dan tindihan

Ia merujuk kepada pemakaian aksesori yang banyak dalam satu-satu masa.

Bagi perhiasan perak, pemakaian aksesori yang banyak dan berlapis antara penggayaan yang menarik.

Contohnya, menggayakan rantai. Penyusunan atau kaedah memadankan set rantai perak dengan panjang yang berlainan antara yang menarik.

Begitu juga dengan cincin, mengenakannya dengan banyak ‘pads’ pada satu atau jari berlainan, gaya ini bukanlah asing dalam kalangan pemakai aksesori berkenaan.

Bagaimanapun, penting untuk anda tahu cara susunan betul dan konsep tidak terlalu berlebihan supaya tampak penggayaan sarat itu lebih elegan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top