Paris: Setahun selepas atlet beraksi dalam Sungai Seine ketika Sukan Olimpik Paris 2024, pihak berkuasa Perancis memberi jaminan bahawa air sungai itu kini selamat untuk orang awam berenang pada musim panas ini.
Penduduk Paris dan pelancong akan dibenarkan mandi-manda di sungai itu bermula 5 Julai ini, bergantung kepada keadaan cuaca, menurut kenyataan pihak berkuasa.
Tiga lokasi utama akan dibuka kepada orang awam iaitu di Bras Marie di tengah bandar bersejarah Paris, kawasan Grenelle di sebelah barat dan Bercy di timur ibu kota.
Tahun lalu, beberapa kemudahan rawatan air, tangki tadahan dan sistem saliran khas yang disambung kepada sistem kumbahan bot di Paris sudah dipasang.
“Untuk temasya Sukan Olimpik, kami membersihkan tiga perempat bahagian Sungai Seine. Dan pada hari-hari yang kering, airnya 100 peratus selamat untuk aktiviti mandi,” kata Marc Guillaume, Pegawai Pentadbiran Wilayah Île-de-France yang merangkumi Paris.
Menurut Guillaume, sebagai pegawai tertinggi dilantik kerajaan bagi wilayah itu, kawasan mandi baharu itu dijangka menarik perhatian ramai.
Untuk tahun ini, ramalan cuaca menunjukkan keadaan lebih kering berbanding hujan lebat luar biasa yang melanda ketika temasya Olimpik tahun lalu, sekali gus menyebabkan enam daripada 11 acara sukan di sungai itu dibatalkan.
“Ia satu detik yang luar biasa pada 2024, tapi acara renang ketika Sukan Olimpik bukanlah matlamat utama.
“Menjadikan Sungai Seine boleh digunakan adalah langkah penting untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, selain meningkatkan kualiti hidup,” kata Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo.
© New Straits Times Press (M) Bhd




